LATAR BELAKANG SEKOLAH

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Sendayan (SMKBBSS) terletak dalam daerah Seremban. Sekolah ini mula beroperasi pada 1 Januari 2015. Pada awalnya, sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Rasah Kemayan. Kemudian ditukarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Nusari. Sekali lagi nama sekolah ini ditukarkan kembali kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Rasah Kemayan. Seterusnya  pula, melalui surat kelulusan bertarikh 31 Disember 2015 oleh Bahagian Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia nama sekolah ini telah bertukar sekali lagi kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Sendayan.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Sendayan merupakan sekolah gred B dan dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. Sekolah ini terletak kira-kira 18km dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban. Sekolah ini diterajui oleh Puan Hajah Norida binti Omar yang mula berkhidmat dari tahun 1 Disember 2014 hingga kini. Pada awal penubuhan sekolah ini telah menerima kumpulan pertama pelajarnya seramai 218 orang yang memasuki tingkatan 1 dan tingkatan 2, terdapat 22 orang guru yang menggerakkan sekolah serta dibantu oleh 5 orang staf sokongan. Kini, jumlah pelajar ialah seramai 650 orang, 47 orang guru dan 5 orang staf sokongan.

 

Sekolah ini mempunyai 3 blok bangunan yang meliputi Pejabat, Bilik Guru, Pusat Sumber, Makmal Sains, Bilik Komputer, Bilik Sejarah, Bilik Matematik, Bilik Pendidikan Seni, Bengkel Kemahiran Hidup, Bilik Kesihatan, Bilik Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Bilik Bimbingan dan Kaunseling dan mempunyai 24 buah kelas. Kemudahan prasarana lain seperti sebuah dewan, surau, kantin dan padang turut disediakan.

 

Tahun 2017 merupakan tahun bersejarah bagi sekolah kerana tanggal 9 Mei 2017, bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Sendayan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan. Pada majlis perasmian tersebut, buat julung kalinya Lagu Sekolah SMK Bandar Baru Sri Sendayan dinyanyikan oleh pasukan koir sekolah. Senikata lagu ditulis oleh Encik Kalaichelvan A/L G.M. Kannan (PK HEM) dengan kerjasama Puan Pengetua sendiri dan komposernya ialah Encik Zulkarnain Bin Mohamed (Penyelia Kokurikulum PPD Seremban)

 

Setiap sekolah yang baharu ditubuhkan sudah pasti akan mencipta identitinya tersendiri. Oleh itu, Puan Hajah Norida Binti Omar selaku Pengetua SMKBBSS telah berusaha mencipta identiti sekolah. Beliau dengan sendirinya telah mereka bentuk Bendera Rasmi Sekolah, mencipta Lencana Sekolah dan menulis senikata Lagu Sekolah.

 

Bendera Rasmi Sekolah menggabungkan 4 warna iaitu kuning, biru, putih, dan merah. Latar belakang bendera berwarna kuning melambangkan SMKBBSS di bawah naungan negeri beradat Negeri Sembilan, tiga garis lurus bermaksud warga SMKBBSS mempunyai hala tuju yang satu dan matlamat yang sama. Garis melintang warna biru melambangkan perpaduan warga sekolah. Garis melintang warna putih melambangkan ketinggian akhlak, kesucian dan keikhlasan warga sekolah. Garis melintang warna merah dan tulisan nama sekolah melambangkan semangat juang yang tinggi, semangat yang membara memburu kejayaan dan berani menempuh cabaran.

 

Lencana Sekolah telah diilhamkan oleh Puan Hajah Norida Binti Omar dan direkabentuk oleh Puan Anie Natarah binti Mhd Jalil dengan gabungan 5 warna dan maksud yang sama dengan warna bendera sekolah. Warna hitam yang terdapat dalam lencana sekolah melambangkan dikandung tanah, bumi atau tanah tumpah air kita. Pemilihan logo  berbentuk ‘perisai’ melambangkan kekuatan dan kesepakatan warga sekolah. Lambang  ‘komputer’ melambangkan murid yang diterapkan dengan pendidikan abad ke-21. Gambar ‘gear’ melambangkan murid yang menjurus ke arah sains dan teknologi dan lambang ‘global’ melambangkan murid yang berkemampuan mempelajari ilmu secara menyeluruh.

 

Tanggal 23 April 2018, SMK Bandar Baru Sri Sendayan telah menerima kehadiran Pengetua kedua iaitu Tuan Haji Azizi Bin Zakaria. Kedatangan beliau sangat dialu-alukan oleh semua warga SMK Bandar Baru Sri Sendayan.

 

 

SENARAI PENGETUA

 

BIL

NAMA

TAHUN BERKHIDMAT

1

Puan Hajah Norida Binti Omar

1 Disember 2014 – 21 April 2018

2

Tuan Haji Azizi Bin Zakaria

23 April 2018 – hingga kini

 

 

 

 

 

                                                                                          

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *